Sunday, July 10, 2011

PENGAJARAN MIKRO

i. Konsep pengajaran mikro

Pengajaran mikro dihuraikan sebagai suatu sistem kawalan praktis dengan tumpuan kepada tingkah laku pengajaran yang khusus dan berlatih supaya mengajar dalam situasi yang terkawal (Allen dan Eve,1998). Cooper dan Allen (1971) pula mendefinisikan pengajaran mikro sebagai situasi pengajaran yang dikurangkan daripada segi masa dan bilangan pelajar iaitu 4-20 minit dengan 3-10 orang. Paintal (1980) pula menghuraikan pengajaran mikro sebagai satu teknik latihan yang sangat diperlukan dengan 6-10 orang pelajar, mengambil masa 5-10 minit dan tumpuan kepada suatu kemahiran yang dikembangkan dan dikhususkan. Jesteru pengajaran mikro merupakan suatu sesi pengajaran yang bercorak latihan atau pendedahan yang mengambil masa10-15 minit, melibatkan rakaman video dengan memfokuskan kepada kemahiran-kemahiran tertentu. Saiz kelas dikecilkan kepada 6 hingga 10 orang. Secara idealnya, murid-murid sekolah yang sebenar patut dibawa ke bilik tempat pengajaran mikro dijalankan. Namun, kekangan dan masalah yang timbul menyebabkan guru pelatih atau rakan bertindak sebagai murid.

Pengajaran mikro diasaskan di Universiti Stanford pada tahun 1963 dalam usaha mencari kaedah latihan terbaik untuk bakal guru. Kini, pengajaran mikro dijalankan di institusi-institusi latihan guru sama ada di universiti atau maktab perguruan sebagai latihan dan persediaan menghadapi suasana pengajaran sebenar di sekolah. Ia merupakan suatu bentuk simulasi pengajaran dan pembelajaran. Sebagai bakal guru, guru pelatih perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran yang berkaitan dengan pengajaran. Kemahiran mengajar menjadikan perkara yang penting bagi seseorang bakal guru. Justeru itu, pengajaran mikro menjadi elemen penting dalam memberi latihan kepada bakal guru dalam bentuk latihan praktis bersama rakan-rakan sebelum melangkah ke bilik darjah sebenar.

Semasa sesuatu sesi pengajaran mikro, biasanya hanya satu jenis kemahiran mengajar sahaja yang difokuskan. Antara kemahiran-kemahiran yang menjadi fokus dalam pengajaran mikro ialah kemahiran memulakan pengajaran (set induksi), kemahiran menyoal, menerang, kemahiran menggunakan papan tulis, kemahiran variasi ransangan, kemahiran menggunakan sumber, kemahiran pengukuhan dan kemahiran menutup pengajaran. Penyelia atau pensyarah dan rakan-rakan akan memerhati dan menilai pengajaran yang disampaikan oleh guru pelatih. Semasa pengajaran berlangsung, rakaman video akan dibuat. Selepas pengajaran selesai, penyelia dan rakan-rakan akan membuat komen berkenaan kekuatan dan kelemahan pengajaran tersebut dengan bantuan ulang tayang rakaman video. Kelemahan-kelemahan akan dibaiki oleh guru pelatih melalui pengajaran dan rakaman semula. Kadang-kadang terdapat juga keadaan di mana guru pelatih diminta membuat rakaman dahulu supaya ditonton, dinilai dan diberi komen oleh penyelia dan rakan-rakan dalam sesi tutorial.

ii. Proses pengajaran mikro

Dalam melaksanakan pengajaran mikro, beberapa peringkat perlu dilalui oleh guru pelatih. Sekurang-kurangnya empat peringkat yang perlu dilalui iaitu perancangan, pengajaran, penilaian (refleksi) dan pengajaran semula.


Allen dan Ryan (1969) mengemukakan enam peringkat dalam proses pengajaran mikro seperti berikut:

Perancangan Pengajaran penilaian Perancangan semula

Pengajaran semula Penilaian semula

Namun, bagi memurnikan lagi proses pengajaran mikro, peringkat-peringkat tersebut perlu dikembangkan kepada beberapa peringkat bagi menjamin sesi pengajaran mikro yang benar-benar bermakna kepada guru-guru pelatih.

Perbincangan

Perancangan

Pengajaran

Penilaian

Perancangan semula

Pengajaran semula

Penilaian semula

Perbincangan

Di peringkat ini guru pelatih berbincang dengan pensyarah dan juga dengan rakan-rakan berkenaan perkara-perkara penting yang umum dan khusus berkaitan dengan pengajaran mikro. Perkara-perkara umum seperti langkah-langkah yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas pengajaran mikro, penjadualan dan rakaman. Perkara-perkara khusus pula seperti kemahiran yang akan difokuskan (objektif, prinsip-prinsip, cara pelaksanaan dan kesannya), borang dan aspek-aspek penilaian. Perbincangan sebegini perlu bagi memastikan guru pelatih betul-betul faham dan bersedia menjalankan sesi pengajaran mikro dan sesi tersebut benar-benar bermakna.

Perancangan

Selepas bersedia di peringkat perbincangan, guru pelatih perlu membuat perancangan. Di peringkat ini guru pelatih perlu membuat persediaan mengajar. Persediaan mengajar ini perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dengan memfokuskan kemahiran yang akan dipraktikkan. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajaran seperti bilangan murid, alat bantu mengajar dan aktiviti perlu dirancang dengan teliti supaya proses pengajaran mikro dalam tempoh masa yang terhad dapat berjalan dengan lancar. Borang-borang yang berkaitan dengan penilaian perlu disediakan.

Pengajaran

Di peringkat ini, guru pelatih berkenaan membuat pengajaran mengikut seperti yang dirancang. Semua prinsip dan garis panduan berkenaan sesuatu kemahiran yang menjadi fokus perlu dihayati dan dipraktikkan, misalnya kemahiran menyoal. Rakaman video akan dibuat semasa pengajaran.

Penilaian

Selepas selesai rakaman pengajaran, video tersebut dipertontonkan semula kepada kelas / kumpulan. Pasa masa ini guru pelatih akan membuat penilaian kendiri, manakala pensyarah dan rakan-rakan yang lain akan membuat penilaian ke atas pengajaran tersebut dengan mengisi borang-borang penilaian yang diedarkan sebelum rakaman video ditayangkan.

Mengikut Model Pengajaran Mikro Allen, semasa sesi perbincangan kemudiannya, pensyarah akan meminta guru pelatih berkenaan membuat komen atau kritikan ke atas pengajarannya. Manakala rakan-rakan kumpulan yang lain akan member maklum balas menggunakan formula 2+2, iaitu mengemukakan 2 komen positif dan 2 cadangan penambahbaikan. Melalui cara ini jika satu kumpulan terdiri daripada 10 orang guru pelatih, secara logiknya terdapat 20 komen positif dan 20 cadangan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan oleh guru pelatih berkenaan. Pensyarah boleh membuat rumusan berkenaan komen-komen tersebut di samping member komennya yang tersendiri.

Perancangan Semula

Hasil daripada komen-komen yang diterima dalam peringkat penilaian, guru pelatih membuat perancangan kali kedua untuk menjalankan pengajaran semula yang akan dirakamkan. Perancangan semula ini mungkin melibatkan pindaan kepada persediaan mengajar yang disediakan.

Pengajaran Semula

Selepas selesai membuat perancangan, pengajaran semula akan dibuat oleh guru pelatih berkenaan dan dirakamkan. Seharusnya pengajaran semula ini berbeza dengan pengajaran pertama kerana guru pelatih berkenaan mengambil kira komen dan teguran.

Penilaian Semula

Selepas pengajaran semula, perbincangan berkenaan pengajaran tersebut akan dibuat di bawah penyeliaan pensyarah bagi mengukuhkan dan meneguhkan kemahiran mengajar kepada guru pelatih dan rakan-rakan.

Kesimpulannya, pengajaran mikro merupakan satu-satunya latihan yang paling baik untuk membantu para pelatih menguasai kemahiran-kemahiran tersentu sebelum melangkah sebagai seorang guru di sekolah. Ia juga membantu bakal guru dalam menangani setiap masalah yang mungkin timbul dalam pengajaran yang sebenarnya apabila mengikuti latihan mengajar di sekolah-sekolah atau menghadapi situasi pengajaran selepasnya.

No comments:

Post a Comment