Sunday, July 10, 2011

PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA

i. Membincangkan mengenai pendidikan Islam di Malaysia berdasarkan :-

a) Definisi Pendidikan Islam

Istilah “Pendidikan Islam” merupakan rangkai kata yang membawa makna yang sangat luas. Dalam ungkapan ini sendiri telah tersirat konsep, falsafah dan matlamatnya. Ini agak berbeza dengan kefahaman umum masyarakat hari ini yang menganggap pendidikan Islam itu ialah Mata Pelajaran Agama Islam atau Pengetahuan Agama Islam di sekolah(Mohd Yusuf Ahmad, 2004). Untuk memberikan pengertian pendidikan Islam yang sempurna, terlebih dahulu kita menjelaskan makna kata ‘pendidikan’ dan ‘Islam’. Menurut Al-Attas,Hassan Langgulung dan Burlian Somad maksud pendidikan itu ialah perubahan dalaman dan perubahan tingkah laku (Mohd Yusuf Ahmad, 2004). Apabila disebut pendidikan Islam ia menjadi lebih khusus dan bermaksud pendidikan yang berteraskan syariat Islam yang berpandukan Al-Quran dan Al-Hadis, dan perubahan yang dikehendaki pula ialah perubahan rohani, akhlak dan tingkah laku menurut Islam.

Dalam bahasa Inggeris istilah pendidikan disebut education.Manakala dalam bahasa Arab pengertian kata pendidikan, sering digunakan pada beberapa istilah, antaranya “ta’lim” ( التعليم ) , tarbiyah (التربية ( dan ta’dib ) (التاديب . Namun demikian, ketiga kata tersebut memiliki makna tersendiri dalam menunjuk atau menerangkan pengertian pendidikan (Dr. Samsul Nizar,M.A: 2001). Kata at-ta’lim merujuk kepada pengajaran yang bersifat pemberian atau penyampaian pengertian, pengetahuan, dan keterampilan. Kata at-tarbiyah membawa erti mengasuh, mendidik, dan memelihara. Sementara Kata at-ta’dib dapat diertikan sebagai proses mendidik yang memfokuskan kepada pembinaan dan penyempurnaan akhlak atau budi pekerti pelajar. Pendidikan adalah ‘latihan atau ajaran’ (Dr.Teuku Iskandar,1986). Sementara itu menurut al-Quran, Islamialah penyerahan diri dan kepatuhan sesuai dengan firman Allah swt dalam Surah Ali ‘Imran ayat 83, yang bermaksud:

Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nyalah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi,baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan”

Ini menunjukkan kepada kita bahawa, pendidikan Islam merupakan usaha-usaha pembentukan anak-anak sesuai dengan ajaran Islam, maka dengan itu melalui pendidikan Islam akan dapat menyerapi dan menyedari hal-hal yang sebenar atau hakikat-hakikat baik dalam ajaran dan amalan Islam, atau apa yang terkandung dalam akidahnya, ibadatnya, sistem akhlaknya dan juga ajaran syariatnya yang dilihat dari segi hukum-hukumnya yang zahir. Ahli-ahli fikir Islam berpendapat bahawa dengan menyedari hal-hal ini semua manusia akan mencapai kebahagiaan dalam dunia dan akhirat (Dr. Haron Din & Dr. Sobri Salamon, 1988). Lebih jauh lagi, pendidikan Islam ialah satu ‘kesatuan’ yang terdiri daripada dua aspek yang bersepadu. Yang pertama ialah bahawa sebahagian daripada ajaran Islam dan undang-undang serta moral hendaklah diajar dengan begitu rupa untuk membolehkan pelajar memahami, setakat yang memadai, asas-asas Islam. Aspek yang kedua ialah untuk melatih pemikiran pelajar dengan cara yang saintifik dan rasional supaya dia dapat menyelaraskan perilakunya dengan moral, undang-undang dan keimanannya terhadap Islam (Muhammad Hamid Al-Afendi & Nabi Ahmed Baloch, 1992) .

Menurut Mohd Kamal Hasan, pendidikan Islam menyatukan semua ilmu pengetahuan di bawah authority dan pengendalian Al-Quran dan Sunnah yang merupakan teras dalam sistem pendidikan dan kebudayaan Islam seluruhnya. Akidah Islam menjadi pusat bagi semua ilmu serta sifatnya integrated. Menurut beliau pendidikan Islam itu bolah dibahagi dua, iaitu formal dan informal (Mohd Yusuf Ahmad,2004). Akhirnya, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa tiada makna yang tepat bagi pendidikan Islam namun dapat difahami oleh semua orang bahawa pendidikan Islam adalah satu usaha untuk mengembangkan fitrah manusia sesuai dengan ajaran agama Islam berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang akhirnya akan mewujudkan satu masyarakat yang bertamadun tinggi, penuh rahmat dan kebahagiaan serta mendapat keredaan Allah.

b) Sejarah ringkas jenis-jenis sekolah-sekolah yang menyediakan Pendidikan Islam di Malaysia

i. SMKA MUAR- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar terletak di Jalan Jonid,lebih kurang dua kilometer di pinggir Bandar Maharani Muar, Johor. Penuntut-penuntut yang belajar di sekolah ini adalah terdiri daripada pelajar Islam lelaki dan perempuan yang datang dari daerah Muar,Batu Pahat dan Pontian dalam negeri Johor.

Pada awal penubuhan sekolah ini,iaitu pada tahun 1963,ia hanya mempunyai satu blok bangunan yang diperbuat daripada kayu yang dibina oleh masyarakat Islam tempatan.Bangunan tersebut dapat mengadakan tiga kelas sahaja iaitu tahun satu,dua dan tiga.Pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pengajian terpaksalah manyambung pelajaran mereka ke sekolah Maahad di Johor Bahru. Jumlah pelajar pada ketika itu hanya lima belas orang sahaja.Setelah pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Johor,pihak Jabatan Agama telah membina sebuah bangunan tambahan pada tahun 1972.

Apabila pentadbiran sekolah ini diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1977 nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Menengah Agama Maahad Muar.Pada dasarnya sekolah ini adalah sama seperti sekolah menengah kebangsaan yang lain. Walau bagaimanapun sekolah ini ada keistimewaannya yang tersendiri iaitu memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi dan Bahasa Arab Komunikasi. Keistimewaan lain yang menjadi matlamat sekolah ini adalah ia berorientasikan Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Negara.

Pada tahun 1977 sekolah ini diserahkan pula di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada awal pengambilannya oleh pihak Kementerian Pendidikan, sekolah ini sukar untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat negeri Johor lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikal sekolah yang usang dan uzur dan tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan bagi sesebuah sekolah menengah.Sehubungan dengan itu juga kurikulum sekolah bertukar daripada kurikulum asal kepada kurikulum akademik sepenuhnya.Perubahan inilah yang menjadikan masyarakat tempatan sukar untuk menerimanya pada peringkat awal.

Keadaan telah berubah apabila Kementerian Pendidikan telah mendirikan 5 blok bangunan baru 3 tingkat yang telah selesai pembinaannya pada tahun 1983. Selepas itu barulah sekolah ini mendapat kepercayaan penuh daripada orang ramai.Lebih-lebih lagi sekolah ini telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan SRP dan SPM setiap tahun.Untuk menampung kekurangan tempat tinggal bagi pelajar-pelajar yang tinggal berjauhan dari sekolah, bilik darjah dan juga makmal sains, pihak Kementerian telah membina sebuah asrama puteri 3 tingkat bersama bangunan dewan makan puteri dan juga 1 blok bangunan makmal sains. Dengan pembinaan bangunan ini, ia dapat menyelesaikan masalah tempat tinggal pelajar-pelajar, lebih-lebih lagi apabila tingkatan 6 telah diwujudkan pada tahun 1987.Pelajar-pelajar juga dapat belajar matapelajaran sains dengan lebih efektif lagi dengan penggunaan makmal sains secara optimum.

ii. Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam- telah ditubuhkan pada 10 Oktober 1986 yang diasaskan oleh Syeikh Ramli bin Hassan dengan bantuan beberapa orang rakan karibnya. Di awal penubuhannya, bangunan sekolah ini dibina atas sumbangan orang ramai dan badan-badan korporat. Pada tahun 1994 bangunan kedua telah dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap/Pendang dengan bilangan pelajar adalah seramai 80 orang dan 6 orang guru. Ketika itu sekolah ini beroperasi sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR). Sekolah ini turut didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri Kedah pada tahun 1986 dengan kawasan seluas 4 relong yang telah diwaqafkan oleh Tuan Haji Awang Ngah (pesara polis) untuk dijadikan sebagai tapak sekolah. Pada November 2006 sebuah surau dibina di atas tanah kepunyaan Syeikh Ramli bin Hassan yang boleh memuatkan seramai 200 orang jemaah. Sebelum terbinanya surau, sekolah ini belum mempunyai tempat tertentu untuk solat jemaah. Oleh itu, sebuah kelas telah dijadikan tempat untuk bersolat jemaah dimana sebelah pagi dijadikan kelas dan setelah tamat waktu persekolahan kelas ini dijadikan tempat solat. Disebabkan keadaan ini maka Persatuan Ibu Bapa (PIBG) telah berusaha untuk mendirikan sebuah surau untuk keselesaan para pelajar, guru dan staf. Aset sekolah pada ketika itu antaranya ialah 7 buah kolam ikan air tawar, 3 relong tanah pertanian dan kambing biri-biri. Pada 12 September 2006 sekolah ini dengan rasminya menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). jawatan pengetua juga telah di tukarkan kepada En. Khubib Bin Ramli iaitu anak lelaki kepada pengasas sekolah ini. Sehingga kini, segala pentadbiran dan pengurusan sekolah adalah dibawah kepimpinan beliau. Tenaga pengajar sekarang seramai 14 orang dan murid seramai 91 orang. Sekolah ini masih mengekalkan pembelajaran Akademik, Arab dan pelajaran agama dalam bahasa Arab.

iii. Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah- terletak di Baling, Kedah, Malaysia. Ia adalah sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah diasaskan oleh Tuan Guru Haji Yahya Toha pada 1935. Sejak penubuhannya, ia telah mengalami perubahan dan perkembangan yang drastik serta mampu berdaya saing dengan perkembangan negara dan seiring pendidikan Malaysia. Sistem pendidikan Sebagai sebuah sekolah agama, maka sistem pendidikan yang diguna pakai di sekolah ini adalah sistem yang berteraskan kepada pendidikan agama yang bakal melahirkan generasi berdasarkan Al-Quran bagi mewarisi kepimpinan masa depan. Berteraskan kepada Sistem Pendidikan Agama, para pelajar juga didedahkan kepada Sistem Pendidikan Kebangsaan agar mereka tidak ketinggalan daripada berperanan dalam institusi masyarakat malah mereka mampu menyeimbangkan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Sehubungan dengan itu, pelajar-pelajar Yayasan Khairiah akan mengikuti duasistempendidikaniaitu. Sistem Pendidikan Agama berteraskan sukatan pendidikan Al-Azhar,Mesir.Sistem Pendidikan Kebangsaan. Namun begitu, Sistem Pendidikan Agama adalah matlamat utama dengan peruntukan masa sebanyak 70%. Sebaliknya, Sistem Pendidikan Kebangsaan adalah sebagai pelengkap yang diperuntukan masa sebanyak 30%. Selain daripada pendidikan formal, kuliah-kuliah fardhu ain pada waktu pagi dan malam juga diadakan bagi memantapkan ilmu agama disamping melaksanakan ilmu yang dipelajari.

c) Kepentingan kewujudan sekolah berorientasikan Pendidikan Islam

Pendidikan Islam mempunyai beberapa matlamat tertentu. Di antara matlamat-matlamatnya adalah jelas untuk melahirkan insan yang budiman, beriman, bertakwa dan salih. Pendidikan Islam nyata sekali menuju ke arah perkembangan tingkahlaku yang sihat. Ekoran daripada matlamat murni ini berkembanglah manusia yang menyedari hakikat lahirnya sebagai hamba Allah swt yang menurut perintahnya, yang beramanah dan bertanggungjawab juga untuk mentauhidkan diri kepada Allah,untuk pembentukan akhlak yang mulia, menyedarkan manusia mengenai keperluan ilmu pengetahuan, menyedarkan manusia mengenai peranannya sebagai Khalifah, untuk pembentukan insan soleh, untuk pembentukan akhlak atau syahsiah Islamiah di dalam diri manusia, untuk mempersiapkan manusia bagi kehidupan di dunia dan di akhirat, untuk memberi perhatian serta menjaga kemanfaatan individu dan masyarakat, dan akhir sekali untuk penyediaan tenaga mahir dan profesion dalam berbagai bidang kehidupan.

Berdasarkan kepada matlamat tersebut dapatlah di rumuskan tentang kepentingan kewujudan sekolah yang berorientasiakan pendidikan Islam. Sekolah-sekolah agama khususnya mempunyai misi dan visi mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang beriman kepada Allah sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri dijadikan oleh Allah sebagai satu tanggungjawab “makhluk” kepada “Khalik” . Juga mendidik generasi pelajar yang berilmu yang sentiasa cintakan ilmu “Fardu Ain” dan ilmu “Fardu Kifayah” yang menjadi tuntutan ummah. Dengan ilmu itu manusia sentiasa kreatif berupaya menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan Negara Mendidik generasi pelajar menjadi manusia yang beramal dengan ilmu yang didapati untuk memakmurkan bumi ini sesuai dengan tuntutan agama yang mengkehendaki hambanya menjadi “Khalifah” di bumi ini. Ilmu hanya akan bernilai sekiranya diamalkan untuk faedah manusia sejagat. Dan melahirkan pelajar-pelajar yang berpendidikan dan berakhlak mulia mengikut nilai-nilai Islam dan bertanggungjawab kepada ALLAH, masyarakat, bangsa dan negara.

Kesimpulannya, sekolah yang berorientasikan pendidikan Islam terutamanya pada masa kini amatlah penting dalam membentuk akhlak dan sahsiah anak-anak bangsa yang pada masa kini banyak yang sudah tersasar dari jalan yang benar.

ii. Memperkenalkan seorang tokoh Pendidikan Islam di Malaysia dan hubungkaitkan dengan sumbangannya dalam bidang pendidikan Islam.

SYEIKH ZUBEIR AL-FILFULANI


Ulama yang berasal dari Pulau Pinang. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad Nur al-Fardhi al-Faqih asy-Syafi'ie al-Filfulani (Pulau Pinang).

Rujukan utama untuk menyusun riwayat ulama yang berasal dari Pulau Pinang ini ialah sebuah kitab bahasa Arab berjudul Tasynif al-Asma' bi Syuyukh al-Ijazah wa as-Sama' au Imta' Uli an-Nazhar bi Ba'dhi A'yan al-Qurn ar-Rabi' 'Asyar oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh. Sungguhpun ulama tersebut berasal dari Malaysia atau dunia Melayu, Walau bagaimanapun dalam beberapa karangan bahasa Melayu kadang-kadang disebut juga nama beliau. Dengan demikian dapat juga digunakan sebagai tambahan maklumat. Baru-baru ini (18 Julai 2006) dalam kertas kerja Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman berjudul Memerantauan Orang Melayu Menuntut Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan Kepentingannya yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu terdapat sedikit maklumat tentang Syeikh Haji Zubeir.
Walau bagaimanapun dalam kertas itu terdapat sedikit perbezaan pendapat dengan sumber-sumber yang lain, iaitu dikatakan bahawa Mudir pertama Dar al-'Ulum ialah Syeikh Zubeir bin Ahmad (kertas kerja hlm. 7). Dalam Tasynif al-Asma' dinyatakan Mudir Dar al-'Ulum ialah Saiyid Muhsin bin 'Ali al-Masawi al-Huseini (hlm. 218). Syeikh Umar Abdul Jabbar pula menulis bahawa Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas Dar al-Ulum itu (at-Tarajim wa as-Siyar, hlm. 333).
Perbezaan pendapat akan dibahaskan dalam riwayat Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini pada keluaran akan datang. Kedua-dua ulama yang sama-sama lahir pada tahun 1323 H/1905 M itu ketika di Mekah berkongsi pula mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah.


Pendidikan
Sejak usia sekitar tujuh tahun lagi Zubeir bin Ahmad memasuki salah sebuah Madrasah Islamiyah di negerinya. Pendidikan ilmu-ilmu asas seperti fiqh, akidah, tilawah al-Quran dan lain-lain dipelajarinya sejak usia tersebut. Pada tarikh 10 Muharam 1339 H/23 September 1920 M, Zubeir melanjutkan pelajarannya di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiyah di Pulau Pinang.

Beliau belajar daripada Syeikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Syeikh Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Syeikh Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Falaki dan Syeikh Husein Rafi'. Zubeir tamat belajar di madrasah tersebut pada bulan Syaaban 1342 H/Mac 1924 M. Kemudian beliau bersama kawan-kawannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Mereka ialah Ali Manshuri, Ahmad Manshuri, Ishaq Zain dan Abdul Majid Husein. Sampai di Mekah mereka tinggal bersama Syeikh al-Qadhi Ahmad Qari. Mereka tiba di Mekah pada malam awal bulan Ramadan 1342 H/5 April 1924 M.

Pada bulan Syawal 1342 H/Mei 1924 M, Zubeir dan rakan-rakannya memasuki Al-Madrasah Hasyimiyah Syarif Husein bin Ali. Mereka mendapat pendidikan khusus daripada lima ulama iaitu Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Jamal al-Maliki, Syeikh Habibullah asy-Syanqithi, Syeikh Muhammad Zaidan asy- Syanqithi dan Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi.

Pada tahun 1344 H/1925 M mereka sempat belajar di Madrasah Ash-Shaulatiyah sehingga mereka keluar dari madrasah itu pada tahun 1349 H/ 1930 M. Sewaktu di Madrasah Ash-Shaulatiyah itulah barangkali Zubeir mula bersahabat dengan Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini yang memasuki Madrasah Ash-Shaulatiyah tahun 1341 H/1923 M.

Para gurunya di Madrasah Ash-Shaulatiyah ialah Syeikh Salim Rahmatullah, Syeikh Mahmud Arif al-Bukhari, Syeikh Abdul Lathif al-Qari, Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Mukhtar Makhdum, Syeikh Abdullah al-Bukhari.

Selain mendapat pendidikan di madrasah, Zubeir juga mendapat pendidikan di Masjid al-Haram dan dengan ulama-ulama tertentu di rumah. Di antara guru beliau yang dapat dikesan ialah Syeikh Sa'id Yamani, anaknya Syeikh Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid Shalih Syatha, Syeikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.

Daripada senarai nama para guru sejak dari Pulau Pinang hingga pendidikan di Mekah tidaklah diragui bahawa Syeikh Haji Zubeir adalah seorang putera Pulau Pinang yang cukup banyak mengumpulkan ilmu pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang.

Madrasah Dar al-Ulum
Setelah tamat belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah Syeikh, Zubeir menjalankan aktiviti mengajar di rumah dan di Masjid al-Haram, Mekah. Beliau mengajar ilmu-ilmu alat dan fiqh dalam Mazhab Syafie. Dalam Tasynif al-Asma juga disebut bahawa pada tahun 1352 H/1933 M, Syeikh Haji Zubeir berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu'ib 'Ali, Mekah.
Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas Dar al-Ulum ad-Diniyah itu bertindak sebagai Mudir yang pertama manakala Syeikh Haji Zubeir adalah Naib Mudir.
Saya tidak mengetahui sumber mana yang digunakan oleh Mohammad Redzuan sehingga dalam beberapa perkara terdapat perbezaan pendapat. Menurut beliau, selain Syeikh Haji Zubeir sebagai Mudir pertama Madrasah Dar al-'Ulum ad-Diniyah, disebutnya pula yang berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin. Haji Abdul Majid Zainuddin tersebut dikatakan meletakkan batu asas. Menurutnya lagi, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian telah diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7).
Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini meninggal dunia pada 1354 H/1935 M. Tempatnya sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah diganti oleh Syeikh Haji Zubeir hingga tahun 1359 H/1940 M. Pada tahun yang sama, beliau pulang ke Malaysia setelah lama mengajar di Mekah dan mempunyai ramai murid.

Aktiviti di Malaysia
Setelah berada di Malaysia Syeikh Haji Zubeir seperti biasa bergiat dalam bidang pendidikan. Di antara madrasah-madrasah tempat beliau mengajar ialah Madrasah al-Huda, Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Terakhir sekali menjadi Mudir Madrasah al-Idrisiyah. Madrasah al-Idrisiyah mempunyai sejarah yang panjang dan tersendiri.
Mengenai Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, berdasarkan buku Madrasah Al-Ulum Al-Syar'iyah Perak 1937 - 1977 oleh Sabri Haji Said, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, madrasah yang terletak di Batu 20, Bagan Datoh, Perak itu sejak mulai berdirinya mendapat sumbangan daripada Syeikh Haji Zubeir.
Bahawa terbinanya Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah adalah hasil inisiatif Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh. Menurut Sabri, penubuhan madrasah itu diadakan di Masjid Bagan Pasir dengan dipengerusikan oleh Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada 21 Oktober 1937.
Nama madrasah itu diberi oleh Haji Muhammad Arsyad setelah berbincang dengan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad. Mudir Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah ialah Haji Muhammad Arsyad. Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada zaman penjajahan Jepun buat beberapa ketika pernah sebagai Wakil Mudir. Penglibatan Syeikh Haji Zubeir dalam Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pula ialah beliau mengajar di madrasah tersebut pada 1946 hingga 1948.
Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah sangat erat hubungannya dengan Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah kerana didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Arsyad pada tahun 1943. Haji Abdur Rahman ini ialah adik-beradik Haji Hasan Adli, seorang tokoh terkenal. Kedua-duanya merupakan anak Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh.
Madrasah al-Idrisiyah diasaskan pada tahun 1340 H/1922 M dekat Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Madrasah tersebut didirikan berikutan titah Sultan Idris I Al-Mursyidul A'zam Syah, Sultan Perak pada zaman itu. Baginda menitahkan dibina madrasah itu kepada Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi bin Haji Tahir. Senarai Mudir yang pertama Madrasah al-Idrisiyah hingga ulama yang diriwayatkan ini susunannya adalah seperti berikut: Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, berkhidmat (1922 - 1928), Syeikh Abdullah al-Maghribi (1928 - 1932), Syeikh Haji Abdullah Fahim (1932 - 1948) dan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad 1948 - 1975).


Penulisan
Penglibatan Syeikh Haji Zubeir dalam bidang penulisan. Namun kata pengantar beberapa buku membuktikan beliau berkemampuan dalam bidang penulisan. Antara buku yang terdapat kata pengantar Syeikh Haji Zubeir ialah Suluh Kemajuan karya Syeikh Haji 'Abdul Karim bin Syeikh 'Utsman Sarawak.

No comments:

Post a Comment